
Ini Tok yasir, dan isteri kesayangan, Nek Sa'diah. saya panggil nenek seberang. asal usul nama 'Nenek seberang' adalah kerana rumah Tok Yasir dan rumah atok saya dipisahkan sungai. ada, ada jambatan. boleh jalan kaki sampai ke sana.
Tok Yasir merupakan guru besar pertama saya. sewaktu umur enam tahun. saya sudah masuk darjah satu. sekolah agama swasta. ujian kemasukannya, nenek seberang yang menemubual dan menguji bacaan surah saya. tak pastilah saya lulus kerana memang cerdik (ehem) atau nenek nak bagi saya masuk sekolah.
Oh, Tok yasir dan atok saya, adik beradik. tok yasir abang, atok saya adik. adik beradik! mereka comel, dan hensem.
setiap tahun, di hari raya kedua, kami beramai-ramai akan ke rumah tok yasir dahulu sebelum konvoi ke rumah saudara mara yang lain. menu wajib: ayam masak lemak cili api. ya, di hari raya! itu kepakaran nenek seberang. comel kan nama nenek seberang?
ada satu tahun, yang entah bila. ada seseorang menanyakan pada tok yasir,
"apa buat lepas bersara pak?"
saya mendengar diam.
tok yasir jawab,
"tak ada apa lagi dah, berkhidmat untuk isteri lah"
waktu tu kalau takde orang memang saya dah pergi peluk atok. dengan wajah dan senyum beliau. dengan senyum nenek. tak, tak, saya tak menangis terharu. sebab tengah makan.
awak bayangkan. tok yasir ini sungguh lembut orangnya. bahasanya. budinya. bila bersembang, disentuh lembut bahu saya. saya paling suka beliau menyebut nama saya: Aishah!
dari kecil, waktu saya sering menangis di pejabat tok yasir meminta ditelefon umi untuk jemput saya dari sekolah, hingga besar panjang sekarang, tak pernah hilang jiwa mesranya. menenangkan. kalau mahu dicari cacat celanya, hampir tak ada.
hari terakhir Sya'ban yang lepas, atok buat doa selamat dirumahnya. cukup usianya 80 tahun, mengikut kalendar hijrah. saya hadir dengan umi dan ayah. sewaktu berjalan ikut jalan yang tak sepatutnya dilalui, saya terjatuh tersadung kaki. biasalah, orang cenderung kemalangan. tiap-tiap hari pun nak jatuh. lebam kaki dan tangan. sebelum pulang, atok pinjamkan dua buah buku buat saya: 'the child in islam' dan 'zionism in the age of dictators'. menu malam itu tentulah: ayam masak lemak cili api.
eh, motif menulis ni nak cerita tentang tok yasir dan isteri, bukan tentang saya!
begini, selepas ungkapan "berkhidmat untuk isteri" yang tok yasir ucapkan, makin kerap saya menjadi saksi pada gagahnya jiwa si tua yang ini. nenek seberang memang tak berapa sihat. sudah berkerusi roda, jalan perlu dipimpin. awak bayangkan, tok yasir tetap boleh bawa isterinya ke mana-mana bersama. dengan keadaan yang bagi kita, payah mahu dijaga itu. sewaktu umi skait di wad, hampir setiap hari atok dan nenek datang ziarah. bila ada saja majlis di rumah, pasti atok datang mendukung nenek dari kereta hingga ke dalam rumah.
awak bayangkan, di bulan puasa, kerana mahu isterinya tetap menikmati terawih di masjid, atok dengan sabar dan senyumnya mengendong nenek ke masjid. setiap hari. without fail. dan awak kena tahu, masjid ni di atas bukit. kalau orang seremban mungkin tahu, masjid sungai landak.
awak faham tak apa yang saya mahu khabarkan?
saya mahu beritahu, ada, dan ramai lagi lelaki yang teramat baik di sini. dan tentulah, baiknya akhlak lelaki itu, dibentuk oleh iman.
saya mahu beritahu, kalau awak ada suami yang sebegini jangan disia-siakan. kalau suami awak masih banyak kekurangan, terima seadanya, kerana masih ramai perempuan yang terseksa dalam perkahwinan. lebih teruk dari awak. tapi sabar itu kan harganya mahal.
oh, dan tentulah.
dengan memandang tok yasir, saya sendiri meletakkan piawaian yang tinggi pada lelaki.khususnya calon suami.
"aishah nak suami macam tok yasir"
tak, tak. saya tak minta didukung setiap hari ke sana ke sini.
saya cuma mendoakan ada sifat belas kasih sebegitu luas dan lapang di hati seorang lelaki buat setiap isteri. buat saya.
ececeh, aishah. kata taknak cakap pasal kawen. ni apa? karipap?
harga seorang lelaki tentulah tidak terletak pada pandainya dia membetulkan paip yang bocor, rajinnya dia ke pasar membeli ikan dan sayur, sabarnya dia melayan anak-anak. atau berapa banyak duit dibawa pulang setiap bulan. kereta apa dibelikan untuk isteri, jauh sekali.
harga seorang lelaki,
letaknya pada di mana dia di hati seorang anak, seorang isteri
harga seorang lelaki,
letaknya pada di mana dia di hati seorang ibu yang mengasihi sepenuh hati
harga seorang lelaki,
tentulah pada nilai taqwa, yang hanya bisa dihitung Tuhan
harga seorang lelaki, kalau boleh saya katakan: selepas siapa dia di sisi Tuhan, adalah bagaimana dia di sisi seorang perempuan.
bukan pangkat atau letaknya dia, tapi bagaimana dia membentuk hati seorang perempuan. how he makes her feel. betul ke macam tu?
lelaki begini, tentulah. berbaloi untuk dipohonkan dari Tuhan, berbaloi untuk dinanti (?), berbaloi untuk kita yang perempuan, berusaha menjadi layak dianugerahi.
dalam kisah tok yasir dan isteri, saya selalu menyoalkan. bagaimana agaknya laku seorang perempuan hingga sebegitu disayang Tuhan, lewat seorang suami. bagaimana hebatnya seorang nenek seberang hingga menerima sebegitu kurnia?
sebelum kita mengharapkan untuk sebegitu dihargai orang lain, tentulah kita perlu pandai menghargai diri dan dia yang diharapkan.
oh, saya cerita pasal atok dan nenek ni sebab sekarang nenek di wad hospital besar seremban. mohon didoakan, nenek disinggahi sakit jantung. Allah, tadi tak sempat syaa mahu melawat. awak tahu la hospital kerajaan. esok insya'Allah.
dan azam saya,
mahu tanyakan kisah cinta mereka. sementara Tuhan dan masa masih mengizinkan, biar saya selongkar kisah sebuah perjalanan. boleh nanti saya sampaikan, pada anak-anak yang bakal dilahirkan. erk.
.