Petang itu dapur sudah mula sibuk dengan ibu yang mahu menyiapkan makan malam dan persiapan sahur. Malam nanti Ramadhan akan datang.
Humaira sibuk mengemaskan kain baju dan buku-buku di bilik. Bersepah. Esok nak sambut hari istimewa tapi bilik tak senonoh. Bukan tak mahu tolong ibu di dapur. Tapi bising. Tak larat . Sudah ada pembantu rumah baru pun yang meneman. Perlu sedikit rehat.
Dan malam itu mereka ke masjid. Ibu memandu, kawasan masjid penuh.
Di tingkat bawah, kaum lelaki memenuhi ruang. Humaira tak pernah menyorokkan selipar bila ke masjid. Tak pernah dia risau pun. Walau malam itu dia menyarungkan crocs kesayangan yang sudah licin tapaknya. Ditanggalkan di tepi anak tangga masjid. Melangkah masuk dan terus menuju ke tingkat atas. Bahagian perempuan. Meriah. Seperti biasa, kalau masjidnya di kawasan perumahan, kaum ibu dan ayah akan bawa anak-anak kecil. Yang belum pandai sepenuhnya menjaga adab di masjid. Tak apalah, daripada sampai ke tua tak kenal masjid.
Sempat Humairah solat tahiyatul masjid, kemudiannya azan. Semua berdiri bersolat sunat. Angin ramadhan mula mencengkam jiwa-jiwa manusia ketandusan. Bukan bodoh sombong hanya mahu merebut promosi dari Tuhan di tempoh Istimewa, tetapi tamakkan ganjaran yang berganda-ganda. Yang berhimpun ini semuanya pendosa. Yang tak tahu entahkan taubat mereka pernah diterima.
Humaira mengenangkan hinanya dia. Namun masih Tuhan memberi masa. Benar cinta tak mengenal rupa. Cinta tak memandang kisah silamnya. Didepakan seluas-luasnya kasih sayang dan janji asmara. Bagi pendosa bermukah menemukan syurgaNya.
"Ya Tuhan...masih ada cintaMu untuk aku. Seperti saja aku mahu rebah, mengenangkan tak terjangkau luas rahmatMu"
Imam mahu memulakan terawih, semangat menyambut cinta si Humaira entahkan melayang kemana. Ditiup bahang masjid yang kian tinggi suhunya. Ruang solat yang dipilih pun jauh dari kipas. Cuba ditumpukan pada solat sepenuhnya. Pembantu rumah baru Humaira yang turut ikut mereka ke masjid bersolat di samping Humairah. Benar Allah itu tak memandang darjat atau harta. Humaira anak majikan masih sama saf solatnya di hadapan Tuhan. Tidak pernah ada baris hadapan untuk Gred mana-mana atau pangkat apa-apa. Di sini, di tempat seperti ini...kau akan tanggalkan segala pakaian nama dan kedudukan. Di hadapanmu Tuhan. Di sekelilingmu hamba yang entahkan lebih hina atau mulia duduk letaknya. Terkesima Humaira jadinya. Mengenangkan tarbiyah pertama yang diterima.
Selamat melangkah ke sekolah Ramadhan ya Humaira. Sudah bertahun kau keluar masuk, entahkan lulus cemerlang atau sekadar menjadi pelajar sambil lewa. Taqwanya entah ke mana. Bersedia atau tidak, kali ini namamu turut ada sama, didaftarkan utuk sesi yang entah ke berapa. Bakal dididik dengan cinta paling agung, diuji dengan dugaan yang entahkan bisa engkau tanggung.
*****
Di rakaat yang entah ke berapa, baru al-fatihah yan dibacakan Imam dirasakan menusuk jiwa. Sebenarnya Humaira tidak pasti, apakah al fatihah itu yang sebenarnya sedang membuat dia mengalir air mata. Atau kenangan yang datang berkunjung tiba-tiba.
Ah. Kenangan. Betapa bodohnya terasa.
Dia sememangnya jadi teringat, kepada Ramadhan yang lalu. Dia teringatkan doa-doanya ketika itu. Ada nama seorang manusia yang sering disertakan bersama.
Lelaki itu.
"datang lagi engkau!" marah Humaira pada lelaki itu, atau dirinya sendiri. tak pasti.
Solatnya entahkan bertambah khusyu' atau tidak dengan air mata yang mengalir terus menerus.
"hinanya aku Ya Rahman, dengan cinta yang Kau hidangkan...masih aku mengenangkan lelaki yang menyakitkan"
Dia sangkakan benar-benar lelaki itu telah hilang, luput dari hati dan ingatan. Datangnya kembali pada waktu sebegini. Pastinya Tuhan mahu menguji lagi. Sesak nafasnya menahan segala gelodak mainan jiwa, bersama bacaan surah Al-Insyirah yang sedang dibaca.
Separuh hatinya mahu betul-betul memasang tembok memelihara jiwa. Separuh akalnya sibuk menjana memori saat luka musim cinta ramadhan yang lalu.
Doanya setahun yang lalu:
"Ya Allah..telah berkali-kali aku cuba menyingkirkan dia dari jiwa, menghilangkan dia dari adanya cinta. Berkali-kali dia pergi dan kembali. Kali ini tolonglah jangan didatangkan dia lagi. Biar benar-benar aku pasti, dengan rahsiaMu yang satu ini. Satukanlah dia dengan tenang, bersama perempuan yang sepenuh jiwa mengharapkannya sekian lama. Dan Kau teguhkanlah hatiku menerima sedikit ujianMu"
Benar. Sampai ke hari ini, tidak ada khabar dari lelaki itu lagi. Dia berdoa di musim lalu saat Tuhan benar-benar mahu mengabulkan barangkali.
Dan kali ini, ingatan itu kembali mungkin kerana dia lalai dan leka lagi. Lupa meminta dan memohon, lupa merayu dan menyerah diri.
Padan muka kau Humaira. Haih. Basah telekungnya yang baru dibasuh siang semalam.
*****
"selipar bibik hilang la...."
kasut crocs Humaira tak hilang pula.
Bukan. Humaira bukan Aishah.