Friday, December 7, 2012

perempuan mulia


menjadi perempuan bukan pilihan.
menjadi perempuan itu ketentuan.

kita pilih
mahu jadi perempuan mulia
atau hidup terhina

takkan terhina dia yang dikasihi tuhanNya
takkan mulia dia yang dimurkai Penciptanya

aku tiada pilihan
selain meneruskan
berjuang dalam sedar dan mimpi
untuk menjadi perempuan yang menentang sehingga mati

kerna hidup di zaman ini
yang mengikut arus kan terpijak mati
yang asing dipandang tak punya harga diri

atas ketentuan menjadi perempuan,
semoga kau dik,
juga tak lelah digelar 'perempuan kuat melawan',



untuk Maryam Kirana :)




Saturday, September 1, 2012

syawal ke sekian kalinya,

.

bulan tak lagi separuh
hatiku sudah penuh







alhamdulillah



.

Wednesday, August 29, 2012

ambivalence

I just hate airports
I just love airports

whichever sounds good









kerana sering, hati yang dihantar pergi tak sama dengan hati yang pulang kembali.


(ke KLIA esok)




.

Thursday, April 26, 2012

Kuala Lumpur yang senyum, petang yang hujan, dan langit yang cedera.

Petang itu, saya ke stesyen keretapi Seremban. Setelah agak lama tidak bertandang.
Dalam rencana perjalanan ke Kuala Lumpur.
Kisahnya, Encik Kereta perlu dirawat. Dan saya pula tidak bisa diam. Ada acara yang mahu saya ikuti.

Perjalanan manaiki tren, bas, kapal terbang, (bahkan manaiki beca) serta memandu kereta sering memberi ruang yang selesa untuk fikiran melayani setiap tunasnya. Mungkin, mungkin saya memang rajin berangan, kuat mengelamun, dan suka melayan perasaan.

Entah kenapa petang itu saya sibuk memerhati. Di dalam gerabak, saya leka dan ulit memerhati manusia.
Sejak KTMB mewujudkan koc wanita, liar sahaja mata ini suka memandang. Saya kira, pandangan perlu ditundukkan bukan daripada lawan jantina saja, ya?

1
Dari awal menaiki tren di Seremban, sebaik selesa memilih tempat duduk dan meletakkan beg tangan di sisi, menyimpan telefon di dalam beg, dan mengeluarkan bahan untuk dibaca, ada gadis manis menegur saya:

"Awak baca ***** juga ya? Saya pun baru nak mula"
"Ha? oh..ya.." *senyum dan angguk. "Cuba juga, sekurangnya satu muka..kan?"
"Oh, saya tak boleh...saya mesti nak baca banyak-banyak"-jawabnya.

Buku yang kami pegang, sama warna. Merah jambu. Malu juga, punya saya sudah lusuh. Saya lantas diam dan menyambung bacaan. Sebenarnya ada rasa bahagia saat itu. Entah kenapa.

Sofia, saya kira namanya Sofia.

2
Ada gadis manis yang lagi satu. Duduk berhadapan saya. Menguntum senyum sejak bertentang mata. Aduh, saya mahu sekali dia melihat senyum saya buat dia. Syukur. Saya kira, dia pandai membaca mata.

Senyumnya manis. Solekan wajahnya tebal. Pakainya biasa-biasa. Memang, belum dipelihara aurat. Tapi saya tahu dia gadis yang baik. Hanya tahu.

Sepanjang perjalanan, dia senyum sekali sekala. Senyum sendirian yang ditujukan buat skrin telefonnya. Saya menyangka mungkin ada wajah kesayangan di skrin itu. Atau mungkin ada gambar yang lucu. Mungkin juga ada pesanan ringkas yang mengundang senyum di wajah, bahagia di hati. Perkiraan saya, ada teman yang sedang menanti dia di destinasi.

Semoga kamu selamat duhai gadis baju hitam solekan tebal.

Diana. Saya kira namanya Diana.

3
Di perhentian Nilai (jika tidak silap) naik seorang perempuan bertudung labuh. Tudungnya warna koko lembut. Wajahnya teduh. Saya senang melihat wajahnya. Walau tak ada senyum. Tidak menegur. Saya mengagak. fikirannya pasti sedang runsing banyak perkara. Mungkin tadi lari-lari berkejar ke stesyen komuter. Dan kemudiannya perempuan ini duduk di samping saya. Aduh. Ingin sekali saya menegur. Ingin sekali saya bertanya nama. Entah kenapa berat sekali. Mungkin merasakan betapa mungkin dia tak mahu duganggu. Saya teringat seorang ibu di KLIA sewaktu memandang wajah perempuan ini. Persis, air mukanya.

Mungkin perempuan di sebelah saya ini juga seorang guru?

Dan saya tertidur selepas itu. Mungkin lebih baik dari asyik memerhati manusia lain dan bersangka-sangka tentang mereka?

Saya terjaga bila ,mendengar perempuan-disangka-seorang-guru tadi menjawab panggilan telefon. Lembut suaranya, tapi ada ketegasan.

"Ke KL ni...ada mesyuarat buku teks"

Tepat! tekaan saya bahawa dia seorang guru memang betul. Saya cuma senyum sendiri.

Marsyida. Saya kira nama guru ini Marsyida. Atau mungkin Puan Jamilah.

4
Di hujung tempat duduk sebelah sana, jauh dari saya. Gadis tudung polos. Warna lembut. Balus labuh dipakai sama skirt panjang, kasut hitam. Wajahnya manis sekali. Duduknya santun. Entah kenapa hati meronta-ronta lagi. Mahu sekali berbual dengannya.

Dibimbit beg berisi fail dan buku-buku. Saya kira gadis ini masih seorang pelajar.

Apa gila saya asyik mahu menegur orang asing di mana-mana? Entah dari mana datangnya nafsu mahu bermesra ini. Dan sungguh, saya tak tahu kenapa, saya sering sekali jatuh cinta pada perempuan. Lebih dari bilangan saya jatuh hati sama lelaki.

Munirah. Mungkin namanya Munirah.

5.
Di stesyen UKM pula, naik seorang lagi perempuan. Usianya mungkin hampir 30. Membawa gulungan besar print-out kajiannya. Tentu dia ada pembentangan penting. Atau harus menyampaikan hasil kajiannya di seminar. Aduhai. Entah dari mana seorang perempuan seperti dia gigi menekuni ilmu kimia den segala.

Ya, saya curi baca apa yang dibawanya dan fail yang dipegang.

Namanya? Faizah.


________________________________________________________

Kawan, saya cuma sedar bahawa saya sudah leka memerhati dan menganalisa manusia hampir satu jam di dalam gerabak komuter yang lajunya segan-segan ini. Bunyi bising dari geseran landasan dan tayar keretapi tidak mampu buat fikiran saya senyap. Rupanya.

Dan saat tersedar sudah terlalu banyak memerhati orang lain ini, ada serangga masuk dan hinggap. Bermain-main di hujung kain kurung merah saya. Apa serangga bisa menghidu dosa manusia? kalau bisa, sudah tentu saya dkeremuni tanpa belas.

Apa agaknya di fikiran orang lain saat ,melihat saya ya?
Terpukul sendiri.
Saya memandang diri sendiri. Ada bayang samar di cermin keretapi. Hijab hitam, mata lesu. Beg tangan biru.
Patutkah setiap orang memakai lencana nama? supaya tidak sembarono memberi nama pada orang, seperti yang sering saya lakukan.

Oh. kasut saya yang sudah lusuh? namanya Dahlia. Kasihan. Dipijak ke mana-mana.

Bagaimana gadis berkulit cerah di pintu gerabak itu memandang saya?
Bagaimana kakak d kaunter tiket tadi memandang saya?
Bagaimana makcik tua yang saya sapa tadi memandang saya?

Kawan,
bagaimana?
Bagaimana Tuhan memandang saya?

Belas kasih-Nya meliputi segala.

________________________________________________________________


Tiba di stesyen Bank Negara.
Langit April seperti kebiasaannya.
Rajuk tak sudah.
Amarah tak pernah kebah.
Belum senja, sudah hitam kelam.
Petanda deras air hujan akan menimpa bumi jajahan.

April.
Ada apa denganmu?
Luka Febuari belum sembuh.
Kau di sini datang merusuh.

Kawan,
pertama kali saya kira dalam hidup saya.
Ada payung saya bawa bersama.
Malu juga mahu diguna.

Bukan. Bukan sudah tidak cinta sama hujan.
Tapi kadang, cinta keterlaluan bisa merimaskan.
kamu tahu kan?

Guruh sudah kedengaran.
Angin sudah menyapa.
Sungguh, Angin yang sama tak akan pernah datang lagi.
Daun kering sepanjang jalan menuju destinasi terbang memberi laluan.

Entah apa yang saya fikirkan saat berjalan.
Hampir saja tergelincir menyembah jalan tar yang hitam.
Kasut lusuh tidak berakal.
Dibawa saya memijak lumut licin di tepian.

Mujur.
Saya kira, tak ada yang memandang.
Allah saja yang menidakkan saya dari jatuh.
Jika ikut hukum gravitinya, sudah tentu cedera lagi tulang yang masih belum sembuh.

Lambat saya mengucap alhamdulillah kerana diselamatkan dari jatuh.
Rupanya menyumpah dahulu di dalam hati.
Malu sendiri.

Tiba di Taman Asuhan. Saya menyapa rakan-rakan cikgu dan meminta laporan.
Melepaskan rindu sama anak-anak tersayang.
Mengerjakan solat Asar dan bersiap ke Dataran.

Nah.
Sekarang Hujan sudah datang.
Lebat sekali, entah bila akan berhenti.
Saya berkira-kira mahu meninggalkan bumbung yang aman.
Dan bermesra sama Hujan yang menyapa.
Payung dikeluarkan dari beg tangan.

___________________________________________________________

Perempuan separa waras mungkin.
Berjalan sendiri di tengah lalulintas yang riuh.
Manusia pulang dari kerja.
Engkau entah mahu ke mana.

Ya. Saya perempuan kuat perasan. Merasa semua memandang.
Sedang orang lain sibuk dengan keserabutan mereka sendiri.
haih.

Beri satu renungan tajam.
Silakan semua diam.
Ada urusan tak boleh aku lengahkan.

Kain basah, mata berkaca.
Tiba di Dataran.
Kelas baru bermula.
Memandang Si Tua Janggut Putih,
hati merasa nyaman semua.
Payung saya letakkan di tepi.

Mengambil tempat di sebelah gadis penulis berita.
Berita siasah negara terutamanya.
Yang selama ini cuma saya kenal di ruang maya.
Manis.
Namanya Hazayani.
Ini bukan nama yang direka-reka!

"menulis itu harus........."
".......punya tema....."
"...disusun menjadi......."

Sungguh, bukan saya lupa apa yang disampaikan di kuliah gratis petang itu.
Cuma setiap kali Si Tua berbicara, saya sering hilang bersama butir katanya.

Baju ungu gelap.
Belum lusuh, tapi sudah berkali terlihat disarungnya.
Kali ini dia nampak tua sungguh.
Usianya bagai baru pertama kali menunujukkan wajah.

"Bapak sudah tua...." hati bisik sendiri. Rasa mahu menangis, tapi ditahankan.
Eh, bapak punya buka nota persis saya!
*senyum suka hati*
Apa bapak juga dulu sering minum di Starbucks?
heh.

Bapak bacakan puisi buat kami.
Unggun Bersih.
Bapak juga menjawab soalan saya, tentang Rindu Ibu yang saya rasakan selalu memberi rasa terharu.

Kata bapak, melalui antalogi itu paling murah rezekinya.
Pertama kali menulis untuk kanak-kanak dan mendapat sambutan tak terjangka.
Rindu ibu adalah perjalanan alam kanak-kanak, mengenal benda...rasa...meniti dewasa.

Patutlah.

Bapak minta diri.
Harus pulang awal.
Agenda rutin di hari Selasa dan Khamis adalah berjemaah di Masjid Negara.
(Ya, muslimin silakan ketemu bapak di sana. Selagi ada hayatnya dipinjamkan Penguasa.)

Lelaki Tua ini, namanya tak perlu saya teka :)
Lelaki tua yang disayang.




Petang yang hening.
Senja yang kuning.
fikiranku yang tak berhenti pusing.

Subhanallah.

Betapa!
Ini terlalu ya Tuhan.
Terlalu.


Banyak kau beri. Sedang aku masih sering lupa diri.








__________________________________________________________

Kawan,
saya sering cuba bercita-cita tinggi.
Mahu menulis tentang perkara-perkara penting. Menulis perihal ikhlas dan takwa, kebuluran di Somalia, mahu menulis tentang ekonomi setidaknya. Menulis isu pendidikan, atau bisa saja hal ilmu keibubapaan yang sering saya baca. Atau mungkin menulis tentang indahnya Asma' Allah yang mulia.

Tapi gagal.
Setiap mahu menulis.
Yang teringat cuma kamu.
Dan hal-hal kecil yang mungkin hilang makna.
Terima kasih kerna sudi membaca.

Jadi, biarlah yang lain menulis tentang ekonomi dunia, atau kadar cukai semasa.


*Malam tadi mimpi lagi. Kali ini ada mak dan adik perempuan awak. Ada sawah dan pantai. Alangkah.




.


Wednesday, April 25, 2012

harap mimpi tak datang lagi.

"Kamu mahu ke mana?"

"bulan"

"berjalan kaki?"

*geleng  kepala*

"jet pejuang?"

"juga bukan. pakai angan-angan. dan awan. tu...awan sudah tunggu. aku pergi dulu!"







sayang, dia sudah lama tidak memandang bulan.




.

Thursday, April 12, 2012

some dance to remember, some dance to forget.

lirik lagu kegemaran. Hotel California.

pernah saya maklumkan pada teman: ada orang menulis untuk mengingat. aku banyak juga menulis untuk melupakan!

(saya menjangkakan, tulisan enrty ini akan jadi rojak dan caca marba)

kalian?
menulis untuk mengenang?
atau menulis untuk melupakan?

kadang
(yang selalunya di blog peribadi)
saya menulis untuk melupakan.
sedikit berkesan.
dengan syarat, tidak diulang baca bila jiwa terdera.

entah berapa lama saya sudah berhenti menulis di diari. atau sekurang-kurangnya membuat catatan di planner. disemak semula, sejak ditahan 8 hari di wad. tahun 2008.

lama. cukup lama. dan saya hampir tidak punya rujukan untuk hari-hari yang lalu selain yang terlekat kukuh di fikiran, selain yang dicatat di blog ini, selain yang dirakam dengan kamera.

I'm a hoarder of memories. sebenarnya.
kerana itu kaptop laptop pemberian ayah di hari lahir saya dari tahun 2008 tidak pernah diselenggara, diformat semula atau diapa-apakan. walau sudah begitu lemah gemalai geraknya, walau sudah begitu sempit ruang memorinya.

ada gambar-gambar kenangan
ada tulisan-tulisan keanak-anakan
ada perbualan-perbualan lama yang disimpan

itu yang paling mahal
perbualan
sama teman
sama yang pernah berkasih-kasihan
sama yang meninggalkan
sama dia yang ditinggalkan

banyak
terlalu
sayang
berat

bila saja datang emosi yang amuk menggila sama hari semalam, saya kunjungi semula pusara tak bernisan ini.
pusara kenangan.

ada planner yang disimpan dari zaman sekolah
banyak di zaman mula bebas hidup sendiri di tanah asing, Jengka Pahang
tertulis azam
tersimpan tarikh jatuh hati
ditulis baju apa dipakai tempoh hari
dicatat pergi ke mana sana sini
petikan kata yang menghantui
malah kadang saya tak pasti dengan simbol apa yang saya lukiskan,
cuma tahu
ada emosi yang mahu dikenang

manis
perit juga
mengenang
dan melepaskan
menulis
dan menyimpan

mahu dibanggakan jauh sekali
mahu diambil pengajaran
aduhai dangkalnya fikiran

lalu dibiar saja
bagai kapal lalu yang kalau singgah ke pelabuhan tak apa, kalau karam tak dicari,
andai lalu cuma; dibiar pergi

memori.
ada apa dengannya?
kenangan?
pasti punya hikmah dicipta Tuhan.

30 first dates.
:)

bayangkan andai tuhan tarik semula nikmat mengingat segala
dengan sakit yang ajaib sekali
memori tentang semalam langsung tak ada
setiap bangun pagi terkejut melihat orang asing tidur bersama
menjerit ketakutan
diceritakan segalanya baru tenang kembali

memori
bisa menghantui dengan amat kejam
bisa menjadi peneman yang meminjamkan kekuatan
andai tak ada, ah. sukar pula.
galau jadinya.

tidak khali.

memori,
dibunuh tak mati
ditanam tak sembunyi
ditinggalkan, mengekor lagi

pilihan yang tinggal?
berdamai dengannya.

oh,
siang tadi cuti
pertabalan agong yang baru
tidak sengaja menonton tv sama teman serumah
entah apa tajuk dramanya

kisah si isteri yang berusia 28 tahun
baru hamil
ditakdirkan menghidap Alzheimer
pada awal usia
memorinya hilang satu persatu
perlu diingatkan selalu
malah terkejut dia melihat diri mengandung 'tiba-tiba'
tidak kenal lelaki yang menjadi suaminya
periuk nasi dimasukkan dalam microwave
jalan pulang ke rumah tidak dihafalnya

gigih si suami mengingatkan selalu
ditunjukkan gambar-gambar saat bahagia
diceritakan dari mula

sementara masih lekat ingatannya
si isteri menulis pucuk-pucuk surat buat anaknya
yang bakal lahir
dikirim pada suaminya

dia menulis
untuk mengingatkan
dia menulis
kerana dia bakal lupa

_____________________________________________
sayang,
tahukah kalian,
di syurga nanti
kita tidak lupa pada dunia?
kita merasa indah syurga dan membandingkan dengan bagaimana saat di dunia

aduhai.

syurga,
adakah di sini?


ingatan
selalu menjadi seksaan yang amat kejam
namun ketahuilah
kau akan lebih tedera tanpanya.

maka,
alhamdulillah.

alhamdulillah buat rasa yang masih ada
alhamdulillah buat rasa yang kadang singgah
alhamdulillah atas semalam yang menghantui
alhamdulillah atas segala yang pernah.
alhamdulillah atas segala yang tidak teringatkan
alhamdulillah atas memori yang dengan hikmahNya tuhan tak biar kita simpan.





awak.
saya mahu
menulis untuk mengingatkan.


___________________________________________________

ini bisa panjang lagi
tapi cukuplah.


terima kasih kerna menjadi sebahagian
dari apa yang tersimpan di ingatan
*senyum manis buat kamu sayang*




oh,
tadi sewaktu meletakkan kereta di tempat parking Ikea, saya ambil gambar tiang nombor tempat letaknya.
bukan takut lupa. selalu ingat juga.
entah.
paranoid.

manalah tahu.
kalau-kalau selepas membeli belah, saya lupa segala.
hah
isk.


orang mengucap terima kasih barangkali kerana setiap budi adalah nikmat
setiap jasa bisa menambat
setiap nikmat mencambah kasih
mahu dipulangkan semula
mahu dikongsi rasa bahagia.


kasihmu kuterima!




cukup ya kali ini?

Assalamualaikum.





.

Friday, March 30, 2012

cuma, dia bukan bulan






masih, selalu memerlukan doa kalian
*dan senyum.*


.

Tuesday, March 20, 2012

Cinta, adalah nama lain bagi perempuan.

Kawan,
Cinta, adalah nama lain bagi perempuan.
Pada setiap kewujudannya.
Pada setiap keberadaannya.

Seperti cinta,
punya awal tidak punya pangkal.
Punya hujung tidak punya keluar.
Perempuan juga membuat kamu pusing,
perempuanlah yang memberi kamu pening.

Seorang perempuan dicipta sebegitu
jalan kau menemukan ketenangan,
tidak kurang menjadi punca segala rasa terbeban.

Namun bukankah perempuan juga yang bisa buat kau melayang di awan?
kaki tak jejak ke bumi,
langit dicapai tak sampai.

Ingatkah kau saat dikendong ibu?
dinyanyikan lagu rindu,
sedang jiwa ibu sebenarnya sayu memandang kamu,
dan hatinya sedang sarat menanggung pilu

Masih ingatkah saat kau pertama terlihat dia
gadis di kelas mengaji, dengan tudung putih polosnya
entah dari mana datang semangat,
tidak sempat hujung tahun,
kau tamatkan muqaddam dengan bersungguh.
Malu terlihat bodoh
dek gadis indah bertudung polos.

Pernahkah kau melihat wajah ayah?
saat pulang ke rumah dan dihidang teh o panas kegemarannya?
wajah itu,
buat ibu yang seharian menguruskan istananya.

Perempuan, adalah nama lain bagi cinta.
bagitu kau lemas di dalamya
begitu kau bahagia bersamanya
begitu kau menjadi penuh dengan halus tubuhnya, luas jiwanya

Sebagaimana perempuan memberi kau sengsara
begitu pula dia membuat kau terlalu bahagia

Kawan,
itulah perempuan.
Yang nama lainnya adalah cinta.

(Dan nama tengahnya air mata
disimpan buat mencari kekuatan
lahir sebagai Cinta, amanah agung dari Tuhan.)

Perempuan, bacalah hatinya dan kau takkan mengerti.
Cintailah cintanya dan jadilah sebenar lelaki.

Sudah kukatakan kawan,
Cinta, adalah nama lain bagi perempuan.
Dan kau harus benar percaya!





.

Random, terkenang peristiwa Hari Wanita (lah sangat) tahun lalu





.

Sunday, March 4, 2012

kau tunduk sembunyikan wajah, namun dapat aku meneka hatimu sehati denganku

30 Mac 2007, Teluk Cempedak
3 Mac 2012, Pengkalan Balak



Pantai, tolong bawa pergi
Angin, jangan datang lagi


(sepatutnya gambar gadis di tepi pantai di sini, tapi..)




.

Thursday, March 1, 2012

ini kisah cinta. (lebih hebat dari si orked dan mukhsin tu)


perempuan cantik: hai...boleh berkenalan?
lelaki kacak: (buat tak tahu)


perempuan cantik: sombongnya.....
lelaki kacak: (buat tak kenal)

perempuan cantik masih berusaha

eh..??


lelaki kacak: apa tengok2? ini wanita tercantik. saya punya. isteri. huh.
perempuan cantik: (hanya senyum bahagia)




Monday, January 16, 2012

Ps

Tentang Peperiksaan, Perempuan dan Pantai.

Peperiksaan.

Sejak kecil, umi memesan. "Biar markah rendah, itu salah awak tak sungguh-sungguh...bukan bodoh. Tapi jangan bodohkan diri, tipu diri sendiri dengan meniru waktu exam. Anak umi tak meniru"
Saya pegang.
Saya tidak kesah orang meniru jawapan saya. Tapi saya memang tak mungkin meniru yang lain untuk menjawab soalan. sebab itulah selalu terjadi saya banyak masa tulis puisi di kertas soalan
Sekarang saya sedang peperiksaan akhir. Saya dan kawan-kawan sepatutnya mendidik anak-anak kecil seawal bayi. Jadi, bila ada di antara kawan-kawan yang ada sudah pun bergelar ibu, meniru di waktu exam. What can  I expect from them? how would they teach my children? Ini bukan sekadar soal integriti. 

Ini soal ihsan dan harga diri. 
Kalau kamu sanggup meniru di waktu peperiksaan, di luar...apa lagi yang sanggup kamu buat?
Tell me, ada ke orang solat di rumah sorang-sorang waktu zuhur, tiba-tiba rasa nak buat dua rakaat je?
Siapa meniru, mungkin ada masalah dengan solatnya.

Di sekolah uitm dulu, ada seorang teman rapat. Kami sama komander kesatria. Di waktu final exam, dia mengambil inisiatif untuk merekod suara sendiri membaca nota kuliah pada mp3 dan di bawa masuk ke dalam dewan. Yes, she did score some of the papers. But she lost my respect and trust. Bayangkan, hari ini dia sudah pun berkerjaya sebagai seorang polis di Kuala Lumpur. Integriti? erk. Ini kira mengumpat tak? huu.
__________________________________________________________________

PMS
Perempuan.

Dua hari pertama peperiksaan, saya dikunjungi sakit yang amat. Saya tidak dapat mengulangkaji di waktu malam. Berguling di tempat tidur. Si adik Wardah sediakan air panas untuk dituam. Sedikit lega bila dia mengurut tapak kaki saya. 
Alhamdulillahi ala kulli halin, wa astaghfirullahi min kulli zanbin. 
Tahu doa apa?
Patutlah hampir seminggu di rumah saya bersikap tidak menyenangkan. Marah-marah adik. Bermasam muka. Tak menolong umi di dapur. Kurung diri dalam bilik. Umi ingat sebab saya stress nak exam. Tapi saya perasan, setiap kali tiba waktunya purnama mengambang, kelakuan saya memang tidak boleh diterima. Sampai bila harus macam ni? Kenapa saya biarkan orang terpaksa terima perangai pelik saya setiap bulan?. It's killing me softly. People shouldn't have to put up with my bad attitude. Being snappy and fierce. Not smiling at all. Dan saya perasan, selain keinginan memuncak untuk aiskrim dan kek coklat...saya akan mula liat solat di awal waktu. *air mata*. Someone please help me. Saya tak mahu jadi Aishah yang bengis dan kuat makan dan tergoyah hatinya setiap bulan macam ni. Apa ubatnya ya? Kadang-kadang bila terasa, boleh dikawal...selalunya sudah terlambat. Ada hati yang sudah terluka. Biasanya hati umi dan adik.

Haih. Kamu faham kan? bukan saya seorang kan yang merasa macam ni?
Kena tambah amal?
Perlu ambil Evening Primrose Oil lagi?
Hormon...tolonglah!

Saya jadi teringat, puisi kegemaran dari antara penulis kesayangan kesukaan.
Harap dia tidak marah saya kongsikan di sini.


pH




pH
Melihat ibu,
dan lain-lain,
Haid perempuan.
aku kadang cemburu,
setelah dibebaskan,
meluru rindu,
melunas asyik,
pada kekasih hati,
yang seolah lama tersua hanya dalam mimpi,

Menghadap Tuhan.
menatap ayat-Nya,
penuh cinta.

Perempuan mukmin,
mekarnya tiap tika.

Haid,
seolah tabu,
darahnya kotor,
namun padanya wasilah menyucikan.

Kugapai mushaf,
tersenyum.
Jalan Tuhan tak terkira,
memberi peringatan.


Tulisan Haniff Zikri di blognya Tepian Muara. (tapi sudah ditarik balik!)


Manis kan?
Saya masih merasakan segala nikmat ini terlalu indah dalam kejadian seorang perempuan.
Setiap halus emosinya
Setiap garang tak tentu masanya
Setiap keinginan peliknya
Setiap air mata tanpa sebabnya.

Hei.
I love it when I cry without reason.
It's like Allah's telling me:
Itu...di situ...kamu menangis...hatimu masih ada!
Your heart is still there sayang!

:)

_______________________________________________________________________________

Pantai, Port Dickson

Selepas habis kertas ketiga petang semalam, (saya keluar awal...malas mahu menyemak jawapan lagi) saya pulang ke Seremban...tapi tidak terus ke rumah. Mungkin segan dengan umi yang baru saja saya merajuk dengannya pagi tadi. Saya memandu ke Port Dickson. Mencari tempat untuk bersunyi-sunyian. Mana ada tempat yang sunyi di atas dunia. Fikiran kamu saja sudah begitu bising sekali! Entah di kawasan mana saya berhentikan kereta. Dilihat tidak ramai orang, dan ada jeti. Turun, memilih buku untuk dibawa berjalan di tepi pantai. Saya bawa kitab pink kegemaran dan buku Falsafah Hidup oleh Buya HAMKA.

Duduk lama di jeti konkrit. 
Matahari terik melambai pergi.
Melihat ketam-ketam kecil bermain sembunyi.
Ombak pantai riang menampar sunyi.
Riak tenang air.
Kaki langit yang kejauhan.
Manusia berkencan....
Lama sudah jemari kaki tidak diramas halus pasir pantai
Wajah tak disapa santun bayu laut.
Manakan mungkin.
Kalaupun tidak ada lelaki kelihatan...tidak bisa saya tanggalkan.
Stokin dan niqab. dipakai bukan kerana lelaki kan?

Sudahnya saya terfikir. Apa di syurga ada lautan?

"Awak..di syurga nanti ada laut tak?"

"Ha?"

"Kat syurga nanti...ada laut tak? Kan dalam Quran cuma selalu menyebut sungai"

"Haah, nanti kat syurga boleh duduk termenung lama-lama tepi sungai"

"Tak penat kan? duduk lama-lamaaaaa...bertahun-tahun. seronoknya!"

"...tak sabar..."


Saya buka buku yang dibawa.
Saya ada tabiat bila perlukan pencerahan, akan buka al-Quran atau mana-mana buku, dan baca kalimat pertama yang terpandang.
Saya ditemukan, (atau tulisan yang menemukan saya?)

Ajar diri berjuang, mengahadapi kesusahan, bencana dan bala, halangan dan rintangan, kerana mesti demikianlah kerja kita dalam hidup. Semuanya ditunggu, dinanti dengan dada lebar dan tangan terbuka sehingga tidak terkejut jika datang yang lebih besar dan hebat. Sebesar-besar musuh yang datang dan bencana yang tiba, bentengnya telah ada, iaitu hati kita sendiri!


Biarkan bumi berkalang kabut.
Huru hara meliputi alam.
Aku tenang tidakku ribut
Hati tetap, jiwaku tenteram.


Bikinlah jiwa itu laksana batu karang di hujung pulau, jadi hempasan segala ombak gelombang.
Mukasurat 138, Falsafah Hidup. Tulisan Prof dr HAMKA.


Allah...
Bikin senyum buat saya sepanjang petang.
Senja menggamit, dan saya tahu saya harus pulang.
Sudah saya beritahu pada diri sendiri dari awal sampai ke PD, "jangan kau mengada basahkan baju Aishah!"


Tapi entah perempuan mana yang begitu degil. Basah juga kasut. Basah juga stokin. Basah juga seluar dan hujung kain jubah. -_-"


Puas hati.




_______________________________________________________________________


Malamnya, saya tidak dapat tidur.
Lalu mencapai buku conteng dan krayon.


Hasilnya:





Saya rasa bila di scan, buruk. Warnanya lain.
(ok...walaupun memang tak cantik!) tapi saya rasa cantik. Sama cantik dengan hasil kerja anak-anak di sekolah saya. Tapi tak pernah pula mereka kutuk saya melukis buruk >_<

Siapa dapat teka masjid tu masjid apa...dia memang pencinta tegar masjid kegemaran.
Mula-mula nak lukis bandar kecil. Tapi tak reti.
Guna teknik yang selalu kita buat di sekolah rendah dulu. Tahu kan? Gores atas krayon hitam.
Haha. Nostalgia.

Sebenarnya cemburu melihat lukisan yang dikongsi encik Abu Yusof:  Starry Night by Vincent Van Gogh.
Aaaaaaa~ cantek kan?


Sekian,
kisah peperiksaan, perempuan dan pantai. Dan sebuah lukisan (?)


p/s: Kalian yang sedang musafir tu. Doakan kami ya!





.

Monday, January 9, 2012

bukti

Kau begitu cinta akan bulan dan cahayanya

namun saat penuh sinar rembulan,
kau jauh diulit lena

Kau bilang kau cinta sama hujan dan titis airnya
tidak kira halus lembut atau garang menggila

namun kau berjalan seharian,
dengan payung biru di tangan kanan.

Kau begitu tersenyum melihat mentari
memuji indah ciptaan Ilahi

namun saat tinggi matahari di atas kepala,
kau tunduk dan mendengus penuh kecewa.

Kau katakan kau rindu akan pelangi
saat langit putih bersih, kau tercari-cari

sekali turun titis dari awan,
kau putus harap dan tak mendongak ke langit lagi.





Kau katakan kau cinta (dia)

sekarang nyatakan:

bagaimana harusku percaya?



.

Friday, January 6, 2012

hujan dan kubik dan cinta



"bulan *** ni jom awak?"
"eh...bukan aishah...."

"jom je lah!'




.

Al-Batul

hikayat dari syurga.

lewat doa dan janji seorang ibu
anak dikandung akan diberikan untuk agama

anak suci penuh cinta
direbut orang untuk dipelihara
terpilih sang nabi yang mulia

hidupmu untuk agama
baitulmaqdis menjadi medannya
disimpan rapi
terjaga

dibalik pintu demi pintu
dalam mihrab sepimu kau berkelana

tidak pernah dipandang
tidak pula memandang

dikurnia buahan di luar musimnya
direzkikan makanan entah dari siapa

pabila ditanya sang nabi yang mulia
"ini dari Tuhanku"
jawabmu penuh percaya.

diangkat doa sang nabi
di dalam mihrabmu, hai gadis jelita
lelaki tua tidak berzuriat
dijawab doanya penuh hikmat

rahim mulia dipilih Dia
buat melahirkan jasadnya Isa
(salam ke atas baginda)
gelisah hatimu bukan kepalang
bagaimana mungkin melahirkan tanpa pernah disentuh orang

kau gadis pilihan!
duhai Maryam.

sungguh Tuhanmu sebaik-baik pembela
diajarkan Dia agar digoncang pohon kurma
kali ini perlu kau meminta
kerna akal tak sampai memikirkan kehebatanNya
saat ragu bertandang
diujilah keimanan.

anak yang lahir bisa bicara
mengubat hati ibu yang terluka.






duhai
ibuku Maryam.
duhai...

betapa Tuhan memuliakan

bentangkan aku seribu kisah bidadari
takkan pernah aku cemburu seperti cemburunya mendengar kisahmu

____________________________________________________________

kupandang hati sendiri

jauh.

bundaku Maryam,
kau terlalu suci
sedang aku kotor 
sedang aku hina
sedang aku hanyut dengan dunia

namun bundaku sayang,
aku pingin sekali!

aku terlalu rindu
aku terlalu mahu!

bermanja-manja denganmu di sana
memandang wajahmu di syurga

Tuhanku Maha Kuasa,
layakkanlah aku bertemunya

Maryam si gadis mulia.

_____________________________________________________________

sekali lagi, ini bukan puisi
cuma menulis setelah membaca
setiap kali dibaca kisahnya aku terkesima.

duhai..





* saya mahu tanya, andai dikisahkan perjalanan saya mencari cintaNya, andai dicerita kisah di sebalik helai kain menutup muka...mungkinkanh akan diperoleh redha?
kerana ramai yang menanya
ramai yang mahu meminjam kisahnya
mereka ini sungguh...jauh lebih indah jiwanya dari saya
namun masih sudi mendengar kisah saya
cuma saya belum merasa kuat mahu berkongsi cerita.

patutkah?
.



>_<



.

Sunday, January 1, 2012

Fasa Para Para Sakura

Bismillah
Dengan namaMu Ya Allah, kami hidup.
Selawat dan salam ke atas Junjungan Mulia, Muhammad s.a.w dan ahli keluarga baginda.

Alhamdulillah.
atas setiap kurnia
mahu yang bisa dipegang, dilihat, didengar, atau cuma dirasa.
Tidak ada yang memberi selain Dia



Saya baru saja pulang dari jamuan BBQ bersama guru-guru, pamit awal kerna ada baju harus dibasuh dan esok perlu ke kelas lagi awal pagi. Dan siang tadi berforum di sekolah. Begitulah hari terakhir saya di tahun 2011.

Ada yang menanya, tidakkah haram meraikan tahun baru, mengiktiraf kalendar kristian. Di bahagian mana ya kristiannya perkiraan tahun Masihi? bukankah tahun Masihi dihitung mengikut putaran matahari? Dan bukankanh matahari itu makhluk Allah yang tidak pernah lelah mahupun merungut kebosanan. Meminjamkan cahaya buat seluruh alam? Di dalam surah al Kahfi, tidakkah Allah menggunakan peredaran matahari sebagai perhitungan?

Saya tidak tahu.
Pardon my ignorance.

Cahaya.
Ada yang begitu istimewa tentangnya.
Pandangan mata,
jatuhnya kerana cahaya.
Mata tidak memberi cinta.
Masa tidak memberi rasa.

Masa.
Beredar.
Ada apa dengannya?
Tadi terfikir, mungkinkah masa yang memberi pengalaman, atau sebenarnya sekadar tali yang menghubungkan pemerhatian dan fikiran, lalu menyulam kehidupan. Dalam bentuk apa wujudnya makhluk yang bernama masa?




Kata teman yang saya senangi; time heals what reason can't. Wise, he is.
The heart has reasons that reason does not understand.
And poetry heals the wounds inflicted by reason.

Doesn't Quran heal us all? Don't you feel?

_____________________________________________________________________

Tahun baru.

Sebenarnya. Saya  merasa sedang berada dalam fasa yang paling ajaib sepanjang tempoh kewujudan saya di dunia. Seorang Ustaz pernah berpesan (atau sebetulnya, menanya)...berapa umur kalian? Disuruh kami memejam mata. Ingat kembali selama mungkin pengalaman hidup dan hanya buka mata apabila tak mampu lagi mengimbau usia sendiri. Saya tidak ingat berapa lama mata saya terpejam.

Kata Ustaz (dipanggil Sheikh sebenarnya), usia kita boleh digambarkan seberapa lama kita memejam mata.
Dan ianya sama sekali tidak ditentukan oleh berapa lama tempoh kita menghirup udara di dunia.

"Hidup kamu yang sebenar bermula saat kamu mula mempunyai hubungan dengan Allah, Maha Pencipta" begitu lebih kurang ayatnya (kuliah di dalam bahasa Inggeris, tentunya). "Cuba kamu ingat, sudah berapa lama kamu berhubung dengan Tuhan, dengan sebenar-benar terhubung (connected)"

Bila saat kamu benar-benar hidup?

Bukan jasad, tapi jiwa.

Alhamdulillah.

Di fasa yang ini, saya sedang merasa sebuah kemanisan. Saya tidak dapat menjelaskan kemanisan yang bagaimana. Tapi apa yang sedang saya rasa adalah rasa yang hampir sempurna dan begitu tak terbeli di mana-mana. Fasa kehidupan yang ini, Allah anugerahkan dengan begitu indah dan manis sekali.

Mind you, manis itu tidaklah wujud dengan gula semata.
Kadang-kadang kemanisan itu wujudnya bagai berlian yang cuma terhasil dengan tekanan bumi yang teramat kuatnya.

Hidangan kemanisan ini bukan tidak ada pahitnya.
Malah yang pahit itu memberi rasa yang begitu istimewa.

Saya selesa dengan perjalanan hidup seharian saya.
Saya selesa dengan jadual pagi ke malam saya. Saya senang dengan kerja dan tugasan yang perlu saya laksanakan.
Saya bahagia dengan orang-orang yang Allah anugerahkan untuk saya berkenal-kenalan.
Saya bahagia dengan teman dan keluarga yang masih tinggal.
Saya gembira dengan tilam dan bantal dan rak buku dan kasut dan beg tangan dan meja tulis dan stokin tidur yang saya punya. hah.

Hingga ada saat, saya tak dapat membayangkan, kebahagiaan bagaimana yang boleh saya pinta lagi dari Tuhan yang menggenggam jiwa-jiwa manusia.

Saya tak dapat membayangkan kehidupan bagaimana yang harus saya harapkan.
Bukan tidak ada yang perlu saya baiki.
Tapi saya bersyukur dengan kondisi hati.
Jasad saya bagai sudah mesra dengan ruhnya, hati saya bagai sudah berdamai dengan akal.

Tentu saja, banyak ruang untuk diperbaiki dan dipulihkan, tapi untuk sampai ke tahap sekarang...saya amat tahu harga yang pernah tergadaikan.

Iman.
Turun naiknya setiap ketika.
Saya tidak tahu bagaimana keadaannya sebentar lagi atau esok hari.

Tapi cukuplah, izinkan saya berbahagia dengan hati yang ini.
Bukan hati yang baru.
Usang. Rapuh.
Penuh jahit dan tampal di sana sini.

Sedih. Bukan tak ada.
Ujian. Bukan tak kunjung tiba.
Sakit. Bukan tak menjenguk jiwa.
Ada.
Cuma sistem pengendalian dan kawalan kualitinya makin bijak bekerja.
Bahkan, ada rancangan "damage control" yang berkesan saya kira.

Setiap luka pasti akan sakit.
Tapi ingat, setiap luka pasti akan sembuh.

:)
lucu.
mengenang bagaimana saya paling tidak tahu mengurus hati.
lalu Alah uji lagi dan lagi.

Esok.
Saya tidak pasti.
Andai nyawa dicabut malam ini.
Iznkan saya pergi dengan berpuas hati.
Mohon redha dari Ilahi.
Harapnya ayah dan umi bisa tersenyum melambai pergi.


Di fasa kehidupan yang ini.
Yang penuh harum bunga.
Walau dalam sembunyinya duri berbisa.
Izinkan saya menzahir bahagia.
Mngucap syukur.
Mendakap sempurna.

Izinkan saya bersujud lama.
Izinkan saya mengangkat tangan.
Izinkan saya menikmati hujan.
Izinkan saya mendongak mencari awan.
Izinkan saya melihat pelangi dalam polosnya langit siang.


Sehingga tidak ada nikmatNya yang saya dustakan.





Yuk.
Raikan kehidupan.
Panjatkan kesyukuran.


Salam sayang.



err.
ini:



boleh?


Merasa bahagia, tidak menghalang kita dari punya impian. Kan?





.

perempuan

bismillah

It’s a habit of yours to walk slowly.
You hold a grudge for years.
With such heaviness, how can you be modest?
With such attachments, do you expect to arrive anywhere?

Be wide as the air to learn a secret.
Right now you’re equal portions clay
and water, thick mud.

Abraham learned how the sun and moon and the stars all set.
He said, No longer will I try to assign partners for God.

You are so weak. Give up to Grace.
The ocean takes care of each wave
till it gets to the shore.
You need more help than you know.
You’re trying to live your life in open scaffolding.
Say Bismillah, In the Name of God,
as the priest does with a knife when he offers an animal.

Bismillah your old self
to find your real name.


Maulana Jalaludin Rumi

FOR HEAVEN'S SAKE, MY HEART!

By Gibran

For heaven's sake, my heart, keep secret your love,
and hide the secret from those you see
and you will have better fortune.

He who reveals secrets is considered fool;
silence and secrecy are much better for him
who falls in love.

For heaven's sake, my heart, if someone asks,
"What has happened?" do not answer.
If you are asked, 'Who is she?"
Say she is in love with another.
And pretend that it is of no consequence.

For heaven's sake, my love, conceal your passion;
your sickness is also your medicine because love
to the soul is as wine in a glass- what you
see is liquid, what is hidden is its spirit.

For heaven's sake, my heart, conceal your troubles;
then, should the seas roar and the skies fall,
you will be safe.



.

bukan semua soalan ada jawapan kan?

awak tak follow bukan sebab awak tak sayang, kan?

FEEDJIT Live Traffic Feed