<3
Maryam selesai membacakan surah Al-Insyiqaq, malam itu sesi tasmiq dia bersama uminya dijalankan di halaman rumah. Dilentokkan kepalanya ke peha umi yang cuma tersenyum mengangguk,
"Alhamdulillah...makin hari makin baik hafalan Maryam, makin lancar bacaan anak Umi."
senyum.
"Mesti Umi tambah sayang Mar kan kann? hik"
"Taklah...siapa kata umi sayang?"
"Alaaaaaaa...nak beli umi baru la macam ni" Maryam muncung sehabisnya
"Hik hik hik...mana boleh, umi la boleh pulangkan Mar kat kedai. Umi simpan lagi tau resit beli awak dulu. Kedai tu kata boleh pulangkan kalau dah taknak"
"Huk..."
"Sampai hati umiii tau. Oke, Maryam nak merajuk dua minit."
"Alahai, kalau merajuk dua minit je...kena juga buat air susu untuk Mar sebelum tidur ni. Merajuklah lama sikit sayang"
Maryam cuma tergelak kecil, matanya sudah menahan kantuk sedari tadi. Di hatinya tahu, mana mungkin umi tidak sayang. Mana mungkin dia cuma dibeli di kedai.
Sudah habis diceritakan padanya oleh umi tentang tafsir ayat dua belas hingga empat belas surah Al-Mu'minun. Tentang bagaimana Allah mencipta setiap bayi yang ada dilanjutkan dengan asal kejadian segenap manusia, uminya bercerita selepas Maryam sibuk menanya:
"Macam mana Mar keluar dari perut umi?"
"Nanti adik dalam perut Umi ni pun boleh keluar jugak ke?"
Cuma ada bahagian yang masih belum Maryam mengerti dan umi berjanji untuk bercerita padanya bila sampai waktu yang sesuai, "Sebelum Maryam akil baligh nanti insyaAllah ya?" kata umi.
Humaira mengusap-usap lembut bahu anaknya, sambil mereka asyik duduk di laman, pandangan jauh memandang langit yang luar biasa cerah. Malam itu bulan hampir penuh. Istimewa kerana bulan bagai dipagari cahaya, punya lingkaran emas di sekelilingnya. Cahaya bulan bagai tidak sabar menyebar kelembutannya.
"Bulan macam pakai cincin kan umi kan?"
Humaira terkedu seketika. Sambil bibir masih sibuk berzikir memuji kebesaranNya.
Tersenyum dia.
"Maryam nak dengar cerita?"
Maryam cuma mengangguk kecil, "ceritalah umi..."
"Pada zaman dahulu, ada seorang Putera dari bulan, dia sangat rajin mengembara menaiki untanya semenjak duduk di bumi. Pada suatu malam, tuan putera duduk beristirehat bersama sahabat-sahabtnya di tepi ladang buah delima. Mereka duduk berbual tentang kebesaran Allah, tentang keperibadian rasulullah s.a.w tentang bagaimana supaya penduduk di bumi dapat memeluk keimanan dengan sungguh-sungguh. Sedang rancak mereka berbual tiba-tiba....jeng jeng jeng..!"
"Umiiiii...takmola saspen-saspen ni"
"Teka la apa jadi?"
"Tiba-tiba ada bintang jatuh dari langit? Ada satelit patah? Tiba-tiba hujan turun lebat?"
"Bukan, bukan,bukan..."
"Putera dari bulan tadi memandang ke langit, macam yang kita sedang buat ni! Alangkah terkejutnya dia, melihat bulan luar biasa indah. Sejak meninggalkan bulan, memang setiap malam Tuan Putera akan meninjau tanah asalnya...tapi malam itu bulan yang dilihat betul-betul macam yang Maryam tengah tengok ni, ada cincin!"
"Lepas tu umi?
"Nak cerita lah ni... kemudian, terus sahaja hati Tuan Putera menjadi hiba, sayu dan terharu. Dia jadi rindu, pada gadis yang pernah dilihatnya di sebuah kampung, dia tidak kenal gadis itu yang cuma kebetulan berada di tengah laluan pengembaraannya . Dia sudah menyimpan azam untuk menikahi gadis tu, selesai saja beberapa urusannya di daerah itu. Melihat bulan yang bagai disarungkan cincin, dia tersenyum mendapat satu ilham, yang diharapnya semua ilham yang benar dan tidak menyesatkan. Bagai tersedar dari angan, Tuan Putera terus beristighfar panjang. Takut dia pada rasa asyik dan rindu, pada rasa yang belum halal untuk dia. Tuan Putera merasa berdosa memuji keindahan bulan dan gadis kampung itu, sedang segala pujian dan syukur hanyalah untuk Yang Maha Lembut dan Mencinta...Maryam dengar tak ni umi cerita?"
"Mar dengar dan hayati ni umi..."
"Oke, lepas tu...emm, putera dari bulan pun menulis sepucuk surat sambil diterangi cahaya purnama dan diamanahkan kepada burung merpati untuk disampaikan kepada gadis kampung itu dan ayahnya. Malang sekali, malam itu lalulintas burung merpati sesak, surat itu tidak tahu entah sempat dan selamat atau tidak sampai ke tangan penerimanya. Tuan Putera tidak mendapat laporan dari si merpati tadi..."
"Alaa....tak dapat la dia nikah dengan perempuan tu umi?"
"Hmmm..itu umi sambung esok insyaAllah. Sekarang kita masuk tidur dulu oke? Jom masuk, ambil wudhu'...Mar tidur dengan umi ya malam ni?"
"Umi takutlah tu tidur sorang-sorang"
"Eleh...Mar yang suka masuk bilik umi tengah-tengah malam kan?
"hik hik hik...ya umi, umiii...bila Abi nak balik? dah sebulan kan Abi tak ada? Abi tak rindu kita ke?"
"InsyaAllah lagi sepuluh hari sayang, Mar kan tahu Abi ada kerja penting. Mar kan cakap nak tunggu Abi kat syurga? Doakan Abi ya?"
"Baik!. Asif umi, umi nangis ye? Umi jaganlah risau. Allah sayang Abi, sebab Abi pun sayang, cintakan Allah. Allah jaga Abi. Umi jangan nangis ya?
"Mana ada umi nangis lah, ni ha celak masuk mata..heee"
"Orang menipu berdosa tak umiiii?"
"Eh..err..oke,oke..umi nangis sikit je. Umi terharu."
Maryam dan ibunya menyelesaikan segala keperluan sebelum tidur dan terus lena selepas tasbih mereka. Dan dalam pekat malam, Humaira terjaga. Bingkas menuju bilik air dan memperbahrui wudhu'nya. Humaira berjalan ke meja solek, dikeluarkan sepucuk surat dari kotak kesayangannya, hampir lusuh dan rapuh surat itu dek selalu dibaca.
"Duhai gadis yang kuhormati,
kulihat bulan dipagari indah
bagai sebentuk cincin dihiasi permata
ingin patik hadiahkan buat dirimu
dengan sebuah ikatan janji
bersaksi wali diredhai Ilahi
sudi kiranya kau terima
lamaran patik yang tak seberapa
cuma ayatNya yang patik ada
buat menjadi mahar hantarannya"
-Putera Bulan Perasan-
Humaira tersenyum kembali, dilipat kemas surat itu. Disimpan kembali ke dalam peti.
Dalam sujudnya di sepertiga malam...dikirim rindu dan doa buat suami tercinta.
Tuhan, lindungilah dia yang Kau pinjamkan.
Ambillah dia jika itu yang Kau takdirkan
Tegurlah aku andai haknya tidak aku laksana
Jika selayaknya kami bertemu di syurga
Jadikanlah diriku bidadari paling indah buatnya.
Allah
Allah
Allahu rabbi
Aku cinta dirimu duhai bidadari
tapi aku lebih cinta Tuhanku, Ilahi rabbi
tidak sayang
tidak sekali pun aku cemburu
pada bidadari yang menantimu
bahkan aku gembira
teringatkan mereka yang sedang bersiap-siap
menanti kita!
_______________________________________________________
okedah, abes berangan. haha!
gambar yang di share cik nilam di fb :)
dan ini masih bukan post yang sepatutnya!
hai lah~
<3
.
.