Thursday, April 26, 2012

Kuala Lumpur yang senyum, petang yang hujan, dan langit yang cedera.

Petang itu, saya ke stesyen keretapi Seremban. Setelah agak lama tidak bertandang.
Dalam rencana perjalanan ke Kuala Lumpur.
Kisahnya, Encik Kereta perlu dirawat. Dan saya pula tidak bisa diam. Ada acara yang mahu saya ikuti.

Perjalanan manaiki tren, bas, kapal terbang, (bahkan manaiki beca) serta memandu kereta sering memberi ruang yang selesa untuk fikiran melayani setiap tunasnya. Mungkin, mungkin saya memang rajin berangan, kuat mengelamun, dan suka melayan perasaan.

Entah kenapa petang itu saya sibuk memerhati. Di dalam gerabak, saya leka dan ulit memerhati manusia.
Sejak KTMB mewujudkan koc wanita, liar sahaja mata ini suka memandang. Saya kira, pandangan perlu ditundukkan bukan daripada lawan jantina saja, ya?

1
Dari awal menaiki tren di Seremban, sebaik selesa memilih tempat duduk dan meletakkan beg tangan di sisi, menyimpan telefon di dalam beg, dan mengeluarkan bahan untuk dibaca, ada gadis manis menegur saya:

"Awak baca ***** juga ya? Saya pun baru nak mula"
"Ha? oh..ya.." *senyum dan angguk. "Cuba juga, sekurangnya satu muka..kan?"
"Oh, saya tak boleh...saya mesti nak baca banyak-banyak"-jawabnya.

Buku yang kami pegang, sama warna. Merah jambu. Malu juga, punya saya sudah lusuh. Saya lantas diam dan menyambung bacaan. Sebenarnya ada rasa bahagia saat itu. Entah kenapa.

Sofia, saya kira namanya Sofia.

2
Ada gadis manis yang lagi satu. Duduk berhadapan saya. Menguntum senyum sejak bertentang mata. Aduh, saya mahu sekali dia melihat senyum saya buat dia. Syukur. Saya kira, dia pandai membaca mata.

Senyumnya manis. Solekan wajahnya tebal. Pakainya biasa-biasa. Memang, belum dipelihara aurat. Tapi saya tahu dia gadis yang baik. Hanya tahu.

Sepanjang perjalanan, dia senyum sekali sekala. Senyum sendirian yang ditujukan buat skrin telefonnya. Saya menyangka mungkin ada wajah kesayangan di skrin itu. Atau mungkin ada gambar yang lucu. Mungkin juga ada pesanan ringkas yang mengundang senyum di wajah, bahagia di hati. Perkiraan saya, ada teman yang sedang menanti dia di destinasi.

Semoga kamu selamat duhai gadis baju hitam solekan tebal.

Diana. Saya kira namanya Diana.

3
Di perhentian Nilai (jika tidak silap) naik seorang perempuan bertudung labuh. Tudungnya warna koko lembut. Wajahnya teduh. Saya senang melihat wajahnya. Walau tak ada senyum. Tidak menegur. Saya mengagak. fikirannya pasti sedang runsing banyak perkara. Mungkin tadi lari-lari berkejar ke stesyen komuter. Dan kemudiannya perempuan ini duduk di samping saya. Aduh. Ingin sekali saya menegur. Ingin sekali saya bertanya nama. Entah kenapa berat sekali. Mungkin merasakan betapa mungkin dia tak mahu duganggu. Saya teringat seorang ibu di KLIA sewaktu memandang wajah perempuan ini. Persis, air mukanya.

Mungkin perempuan di sebelah saya ini juga seorang guru?

Dan saya tertidur selepas itu. Mungkin lebih baik dari asyik memerhati manusia lain dan bersangka-sangka tentang mereka?

Saya terjaga bila ,mendengar perempuan-disangka-seorang-guru tadi menjawab panggilan telefon. Lembut suaranya, tapi ada ketegasan.

"Ke KL ni...ada mesyuarat buku teks"

Tepat! tekaan saya bahawa dia seorang guru memang betul. Saya cuma senyum sendiri.

Marsyida. Saya kira nama guru ini Marsyida. Atau mungkin Puan Jamilah.

4
Di hujung tempat duduk sebelah sana, jauh dari saya. Gadis tudung polos. Warna lembut. Balus labuh dipakai sama skirt panjang, kasut hitam. Wajahnya manis sekali. Duduknya santun. Entah kenapa hati meronta-ronta lagi. Mahu sekali berbual dengannya.

Dibimbit beg berisi fail dan buku-buku. Saya kira gadis ini masih seorang pelajar.

Apa gila saya asyik mahu menegur orang asing di mana-mana? Entah dari mana datangnya nafsu mahu bermesra ini. Dan sungguh, saya tak tahu kenapa, saya sering sekali jatuh cinta pada perempuan. Lebih dari bilangan saya jatuh hati sama lelaki.

Munirah. Mungkin namanya Munirah.

5.
Di stesyen UKM pula, naik seorang lagi perempuan. Usianya mungkin hampir 30. Membawa gulungan besar print-out kajiannya. Tentu dia ada pembentangan penting. Atau harus menyampaikan hasil kajiannya di seminar. Aduhai. Entah dari mana seorang perempuan seperti dia gigi menekuni ilmu kimia den segala.

Ya, saya curi baca apa yang dibawanya dan fail yang dipegang.

Namanya? Faizah.


________________________________________________________

Kawan, saya cuma sedar bahawa saya sudah leka memerhati dan menganalisa manusia hampir satu jam di dalam gerabak komuter yang lajunya segan-segan ini. Bunyi bising dari geseran landasan dan tayar keretapi tidak mampu buat fikiran saya senyap. Rupanya.

Dan saat tersedar sudah terlalu banyak memerhati orang lain ini, ada serangga masuk dan hinggap. Bermain-main di hujung kain kurung merah saya. Apa serangga bisa menghidu dosa manusia? kalau bisa, sudah tentu saya dkeremuni tanpa belas.

Apa agaknya di fikiran orang lain saat ,melihat saya ya?
Terpukul sendiri.
Saya memandang diri sendiri. Ada bayang samar di cermin keretapi. Hijab hitam, mata lesu. Beg tangan biru.
Patutkah setiap orang memakai lencana nama? supaya tidak sembarono memberi nama pada orang, seperti yang sering saya lakukan.

Oh. kasut saya yang sudah lusuh? namanya Dahlia. Kasihan. Dipijak ke mana-mana.

Bagaimana gadis berkulit cerah di pintu gerabak itu memandang saya?
Bagaimana kakak d kaunter tiket tadi memandang saya?
Bagaimana makcik tua yang saya sapa tadi memandang saya?

Kawan,
bagaimana?
Bagaimana Tuhan memandang saya?

Belas kasih-Nya meliputi segala.

________________________________________________________________


Tiba di stesyen Bank Negara.
Langit April seperti kebiasaannya.
Rajuk tak sudah.
Amarah tak pernah kebah.
Belum senja, sudah hitam kelam.
Petanda deras air hujan akan menimpa bumi jajahan.

April.
Ada apa denganmu?
Luka Febuari belum sembuh.
Kau di sini datang merusuh.

Kawan,
pertama kali saya kira dalam hidup saya.
Ada payung saya bawa bersama.
Malu juga mahu diguna.

Bukan. Bukan sudah tidak cinta sama hujan.
Tapi kadang, cinta keterlaluan bisa merimaskan.
kamu tahu kan?

Guruh sudah kedengaran.
Angin sudah menyapa.
Sungguh, Angin yang sama tak akan pernah datang lagi.
Daun kering sepanjang jalan menuju destinasi terbang memberi laluan.

Entah apa yang saya fikirkan saat berjalan.
Hampir saja tergelincir menyembah jalan tar yang hitam.
Kasut lusuh tidak berakal.
Dibawa saya memijak lumut licin di tepian.

Mujur.
Saya kira, tak ada yang memandang.
Allah saja yang menidakkan saya dari jatuh.
Jika ikut hukum gravitinya, sudah tentu cedera lagi tulang yang masih belum sembuh.

Lambat saya mengucap alhamdulillah kerana diselamatkan dari jatuh.
Rupanya menyumpah dahulu di dalam hati.
Malu sendiri.

Tiba di Taman Asuhan. Saya menyapa rakan-rakan cikgu dan meminta laporan.
Melepaskan rindu sama anak-anak tersayang.
Mengerjakan solat Asar dan bersiap ke Dataran.

Nah.
Sekarang Hujan sudah datang.
Lebat sekali, entah bila akan berhenti.
Saya berkira-kira mahu meninggalkan bumbung yang aman.
Dan bermesra sama Hujan yang menyapa.
Payung dikeluarkan dari beg tangan.

___________________________________________________________

Perempuan separa waras mungkin.
Berjalan sendiri di tengah lalulintas yang riuh.
Manusia pulang dari kerja.
Engkau entah mahu ke mana.

Ya. Saya perempuan kuat perasan. Merasa semua memandang.
Sedang orang lain sibuk dengan keserabutan mereka sendiri.
haih.

Beri satu renungan tajam.
Silakan semua diam.
Ada urusan tak boleh aku lengahkan.

Kain basah, mata berkaca.
Tiba di Dataran.
Kelas baru bermula.
Memandang Si Tua Janggut Putih,
hati merasa nyaman semua.
Payung saya letakkan di tepi.

Mengambil tempat di sebelah gadis penulis berita.
Berita siasah negara terutamanya.
Yang selama ini cuma saya kenal di ruang maya.
Manis.
Namanya Hazayani.
Ini bukan nama yang direka-reka!

"menulis itu harus........."
".......punya tema....."
"...disusun menjadi......."

Sungguh, bukan saya lupa apa yang disampaikan di kuliah gratis petang itu.
Cuma setiap kali Si Tua berbicara, saya sering hilang bersama butir katanya.

Baju ungu gelap.
Belum lusuh, tapi sudah berkali terlihat disarungnya.
Kali ini dia nampak tua sungguh.
Usianya bagai baru pertama kali menunujukkan wajah.

"Bapak sudah tua...." hati bisik sendiri. Rasa mahu menangis, tapi ditahankan.
Eh, bapak punya buka nota persis saya!
*senyum suka hati*
Apa bapak juga dulu sering minum di Starbucks?
heh.

Bapak bacakan puisi buat kami.
Unggun Bersih.
Bapak juga menjawab soalan saya, tentang Rindu Ibu yang saya rasakan selalu memberi rasa terharu.

Kata bapak, melalui antalogi itu paling murah rezekinya.
Pertama kali menulis untuk kanak-kanak dan mendapat sambutan tak terjangka.
Rindu ibu adalah perjalanan alam kanak-kanak, mengenal benda...rasa...meniti dewasa.

Patutlah.

Bapak minta diri.
Harus pulang awal.
Agenda rutin di hari Selasa dan Khamis adalah berjemaah di Masjid Negara.
(Ya, muslimin silakan ketemu bapak di sana. Selagi ada hayatnya dipinjamkan Penguasa.)

Lelaki Tua ini, namanya tak perlu saya teka :)
Lelaki tua yang disayang.




Petang yang hening.
Senja yang kuning.
fikiranku yang tak berhenti pusing.

Subhanallah.

Betapa!
Ini terlalu ya Tuhan.
Terlalu.


Banyak kau beri. Sedang aku masih sering lupa diri.








__________________________________________________________

Kawan,
saya sering cuba bercita-cita tinggi.
Mahu menulis tentang perkara-perkara penting. Menulis perihal ikhlas dan takwa, kebuluran di Somalia, mahu menulis tentang ekonomi setidaknya. Menulis isu pendidikan, atau bisa saja hal ilmu keibubapaan yang sering saya baca. Atau mungkin menulis tentang indahnya Asma' Allah yang mulia.

Tapi gagal.
Setiap mahu menulis.
Yang teringat cuma kamu.
Dan hal-hal kecil yang mungkin hilang makna.
Terima kasih kerna sudi membaca.

Jadi, biarlah yang lain menulis tentang ekonomi dunia, atau kadar cukai semasa.


*Malam tadi mimpi lagi. Kali ini ada mak dan adik perempuan awak. Ada sawah dan pantai. Alangkah.




.


16 comments:

Syafiq Effendi Faliq Alfan (SEFA) said...

:')

Najwa Najihah said...

Akak turut serta dalam kuliah Pak Samad di Dataran. Alangkah indahnya.

*Oh, ada habuk memerahkan mata saya.

:')

INTAN said...

oh my~

teringat first time jumpa pak samad masa tingkatan 3. ada bengkel dengan DBP anjuran sekolah.

dapat hadiah fail. dan buku nota kecil yang masih ada terbawa ke jordan (buat tulis resepi. =.=)

tapi akak, yang sesal, dulu mana ada 'rasa'. mungkin masih belum dewasa.

masih belum pandai menghargai~

entah.

sapphire said...

Cik Aishah,

kalau lah saya tak kenal awak. mesti dalam hati saya akan cakap "knp dia nak pakai purdah eh?macam mana rupa dia eh..?mesti alim ni" sorry...tiap kali jumpa org berpurdah pun mesti soalan mcm tu gak terfikir...

dan pasal Bapak tu. terharu dan macam sedihnya. betapa gigih dia kan.. kalau lah dia tu atok saya. mesti sekeras-kerasnya saya larang dia ke dataran. sungguh! kesian. dah tua. tak sanggup tgk macam mana orang layan dia nanti...


harap semuanya selamat nanti. amin. aishah pun hati2 tau.. :)

Danial_arif said...

Assalamualaikum...awk betul2 ade bakat menulis...betul2 tenggelam dengan tulisan awk..hebat ALLAH....

As said...

Awak..
saya bukan lagu guru rasmi kini..

tepianmuara said...

kadang tika saya membaca tulisan di mana-mana blog, tersenyum sendirian kerana 'merasa dapat meneka' yang mana ditambah kemudian, yang mana dipadam, yang mana dia tinggal sebab tak tahu bagaimana nak habiskan.

seronok.

tapi, kemudian terfikir, mungkin saya hanya membanding tulisan mereka dengan tulisan sendiri. sedang mungkin mereka benar-benar berbeza.

Nurun Nur 9111 said...

salam sejhatera semua,

saya kagum,bahasa awak sgt indah...

-Annur-

Aimi Syahirah said...

Kakak! :)

Saya juga perlu pandai membaca mata!
Mana tahu satu hari kita terjumpa di mana mana?

<3

_________________________
I added cool smileys to this message... if you don't see them go to: http://s.exps.me

Hamizah said...

Kakak, setiap ayat saya cerna, bagai ada rasa di hujung setiap kata. setiap kali saya baca, bagai saya melihat dunia yang amat berbeza. Indah. kerana ini yg saya cari luar dari realiti hidup sendiri :) mencari warna hidup orang lain. Ya, ini yang saya cari. :)
Tulis lah lagi, biar celik mata hati :)

Anonymous said...

tiba-tiba rasa sesal, kerna tidak pernah beljar puisi daripada bapak.

Anonymous said...

Salam,


kagum dgn pak samad

KLIK ISU MATRIKULASI DAN PELAJAR PANDAI

ghost said...

aku menyukai cara penceritaan begini. ia langsung membawa watak dalam diri. tau ia masih beda namun sedikit sudah cukup.

Shafa Eman said...

aku suka bila kau analisa perwatakan orang dalam tren. kerana aku juga buat perkara yang sama.

tidak menghakimi, cuma memerhati.

Fida Husain said...

sama seperti kaki yang jauh melangkah pergi, akhirnya saya kembali singgah di stesyen ini. rindu. jaga diri kak. maaf sebab saya bukan terbaik disisimu. rindu sangat..

Fida Husain said...

sama seperti kaki yang jauh melangkah pergi, akhirnya saya kembali singgah di stesyen ini. rindu. jaga diri kak. maaf sebab saya bukan terbaik disisimu. rindu sangat..


perempuan

hatinya tertinggal pesawat

bismillah

It’s a habit of yours to walk slowly.
You hold a grudge for years.
With such heaviness, how can you be modest?
With such attachments, do you expect to arrive anywhere?

Be wide as the air to learn a secret.
Right now you’re equal portions clay
and water, thick mud.

Abraham learned how the sun and moon and the stars all set.
He said, No longer will I try to assign partners for God.

You are so weak. Give up to Grace.
The ocean takes care of each wave
till it gets to the shore.
You need more help than you know.
You’re trying to live your life in open scaffolding.
Say Bismillah, In the Name of God,
as the priest does with a knife when he offers an animal.

Bismillah your old self
to find your real name.


Maulana Jalaludin Rumi


FOR HEAVEN'S SAKE, MY HEART!

By Gibran

For heaven's sake, my heart, keep secret your love,
and hide the secret from those you see
and you will have better fortune.

He who reveals secrets is considered fool;
silence and secrecy are much better for him
who falls in love.

For heaven's sake, my heart, if someone asks,
"What has happened?" do not answer.
If you are asked, 'Who is she?"
Say she is in love with another.
And pretend that it is of no consequence.

For heaven's sake, my love, conceal your passion;
your sickness is also your medicine because love
to the soul is as wine in a glass- what you
see is liquid, what is hidden is its spirit.

For heaven's sake, my heart, conceal your troubles;
then, should the seas roar and the skies fall,
you will be safe.



.

bukan semua soalan ada jawapan kan?

awak tak follow bukan sebab awak tak sayang, kan?

FEEDJIT Live Traffic Feed