Monday, December 12, 2011

Warkah buat adikku, Suri.


Adindaku Suri,
biarlah kakanda memulakan warkah ini dengan rangkap puisi, dari penyair yang begitu kakak hormati.
(tidak perlulah kakak bertanya khabar, kerana tadi malam hampir ke subuh kau meluahkan rasa hati yang rawan kian tawar)


Kau mungkin bukan lelaki terbaik
tapi buat perempuan sepertiku
mungkin tidak ada yang lebih baik
darimu.

Aku mungkin tidak mendapat segala-galanya
tetapi dengan keadaan begini
aku tidak meminta
yang lebih lagi.

Usahlah bertanya apakah aku bahagia
aku pun tidak menyoal tentang perasaanmu
kerana kadang -kadang bila terlalu mahu memasti
orang jadi semakin ragu

terlalu banyak bicara dan banyak menganalisa
orang menjadi semakin tidak tahu.
Aku mungkin kurang pasti
tentang apayang telah kukatakan
tapi yang pasti
kita tidak perlu terlalu pasti

Zurinah Hassan, Yang Pasti
(Menghadap ke Pelabuhan)


Begitulah adikku sayang, jalan menjadi perempuan penuh dengan ketidakpastian. Namun kau harus membuat pilihan! Aku tidak mahu menjadi kakak yang bagai harimau kelaparan, menerkam yang lemah tanpa penyesalan. Biarlah aku menuturkan setiap kataku dengan penuh hati-hati. Namun kau harus tahu adikku sayang, aku benar-benar memaksudkan setiap kalimah di dalam warkah ini. Biar kau tahu kakakmu ini berpendirian, kerna kita perlu tegas menjadi perempuan. Hitam, atau putih? tidak ada yang kelabu.

Kau menyoalkan tentang hidup dan pilihan, cinta dan pengorbanan. Kau menjadi walang bukan kepalang, datang pilihan yang buat hatimu rawan. Sedarlah duhai adikku sayang, tidak ada yang lebih memedihkan dari membuang seribu pilihan menjadi satu kepastian. Perlu aku nyatakan dari awal, begitu aku hormat akan dikau. Sujud rukukmu tak pernah kurang, begitulah kita yang masih sendirian. Tuhan mengajar tentang pegharapan, meletak pergantungan hanya pada Dia, tidak mengharap dan berhajat, walau pada seorang pun manusia. Mungkin kerana masih mahu menguji kesabaran dan tawakalnya kita, Tuhan membiarkan doa kita lama tergantung tak ada berita. Duhai adikku, Allah punya cara paling indah dalam menunaikan hak hambaNya. Kau tahu bukan?

Sayang,
bagaimana beratpun pilihan dan dugaanmu hari ini, perlulah kau sedar dan percaya, bahwa suatu hari nanti...apa yang sedang kau runsingkan hingga tak ketahuan malam atau pagi, matahari dan bulan silih berganti. Sungguh, sungguh apa yang kau hadapi ini akan kelihatan begitu kecil umpama sakit gigimu yang pernah begitu kau jerit sakitkan sewaktu kecilmu. Hari ini, kesakitanmu itu cuma kenangan bukan? Ah, begitu aku memberikan contoh. Manakan sama kesakitan memilih jodoh dan sakit gigimu ya dik? Begitu?

Adikku yang jernih hatinya, soalan yang kau ajukan padaku, terasa berat beban yang mengikutnya. Bagaimana aku bisa menjawab dengan cara paling mudah untuk kau mengerti? sedang setiap yang Tuhan jadikan takkan sama Qadar ketentuan. Qalam sudah diangkat sayang, perhitungan bakal dilangsungkan. Itu pasti.

"Kakak, harus aku memilih yang punya cinta atau si dia yang punya nilai yang sama?"

Begitu sekalikah kabur pandanganmu dik?
Silau cahaya di hujung jalan yang terlalu terang, ya bisa saja buat kita ragu akan pilihan. Buta memandang kebenaran. Jangan dipadam cahaya yang menyilaukan, jangan pula kau berlari kembali pangkal sedang hujung  belum sampai. Kau tahu apa itu tawakal dik? Tambatkan untamu. Ya, cari talinya. Ikat kakinya. Kemudian berserah saja, bagai burung yang keluar pagi, mencari rezeki. Sudah ditetapkan Tuhan, makanannya setiap hari.

Adik, berat sekali aku mahu menuturkan perkataan ini. Begitu asing di bibir. Begitu janggal di hati. Maafkanlah rasa keanehanku ini dik. Aku tidak merasa layak menyebut nama mereka.
Yang namanya lelaki itu dik, apabila tiba saat kau harus memilih...perlu kau tahu, usahanya perlu sudah disulam kian lama. Menyediakan diri sendiri sebelum Tuhan menghantarkannya. Sedang kau berdoa untuk yang gagah perkasa iman dan akhlaknya, aku percaya, Tuhan juga sedang menyediakan dia dengan sebaik mungkin, sesuai kerja keras, lelah payahmu sepanjang usia kau menjadi yang namanya wanita. Kini pilihannya sudah tiba di depan pintu rumahmu, kau keliru mahu mempersilakan yang mana satu.

Usahlah kau bebankan lagi pundakmu dengan silam yang kelam itu sayang. Aku tak akan bisa merasa apa yang kau rasakan, namun aku bisa cuba mengerti kepedihan yang kau tanggungi. Buanglah segala cerita dukamu. Tuhan sentiasa menguji sesuai kemampuan. Apa kau tak percaya lagi pada kalimah Dia? Duhai, maafkan aku dik, mempersolakan peri kepercayaan. Cuma aku mahu sekali kau mengerti, segala beban yang kau tanggungi tak lepas dari pengetahuan Dia. Walau gugur sehelai daun, dalam basah atau kering, dalam gelap atau terang cahaya. Maka peliharalah perasaanmu dik, peliharalah lintasan fikiranmu dik. Jangan ada yang bukan-bukan, jangan ada yang bisa mengundang murka Tuhan Yang Maha Kuasa.

Belum habis aku bicara.
Tentang yang tadi namanya lelaki.

Apabila kau harus memilih.
Antara yang punya cinta menggunung.
Atau yang siap punya fikir dan nilai pegangan yang sama.
Aku tahu aku juga pernah menyoal yang sama. Aku juga tak punya jawapan. Sudi kiranya kau ikutku sama membuat perhitungan.

Cinta, apa itu yang dinamakan cinta dik?
Kesanggupan mempamerkan kebodohan demi membeli jiwa seorang perempuan?
Rasa kasih tak berbelah bagi hingga kau takkan dia tinggalkan?
Seumur hidupku dik, cinta itu berubah maknanya. Di waktu kecilku, melihat ayahku bangun di tengah malam membawaku ke hospital, kurasakan itu cinta. Dikejar ibu ayam yang naik berang  pabila kuganggu anaknya, kurasa itu cinta. Di waktu remajaku, melihat ibuku menangis aku tahu ada cinta. Melihat ibuku melayani orang tuanya yang gering menunggu ajal, aku terlihat cinta. Bertemu sahabat yang mengejutku di tengah malam diajak sujud bersama, aku merasa ada cinta. Dalam peluk cium sahabat yang baru pertama kali berjumpa, kurasakan ada cinta. Cinta. Aku tidak tahu di mana mahu kuletakkan tempatnya.

Apa pantas seorang lelaki yang begitu asing, kita berikan rasa yang sama? sedang selama hidup ini entah di mana dia. begitu aneh Tuhan mencipta rasa. Kita melihat saban hari pasangan menikah meraikan cinta. Saban waktu juga kita melihat rumahtangga berantakan dilepaskan ikatan kerana katanya tiada lagi cinta. Apa cinta itu makhluk yang diciptakan punya nyawa dan ajalnya? Daripada Allah dia datang, kepadanya dia dikembalikan, begitu kukira.


Satu Cerita Cinta

Di hari dia melahirkan cintanya
dia berkata kepada kekasihnya
"Kita tidak usah berjanji untuk setia
kerana kita tidak mahu setia kerana janji
kita akan setia kerana cinta
hanya kerana cinta"

Di hari perkahwinannya
dia berkata kepada kekasihnya
"Perkahwinan ini adalah ikatan
tapi kita tidak usah terikat kerananya
kita terikat kerana cinta
hanya kerana cinta"

Di hari-hari kemudiannya
dia berkata kepada dirinya
"Perkahwinan kadang-kadang mengajar kita
melupakan cinta
untuk belajar hidup bersama."


Ya, puisi ini juga ditulis oleh bonda Zurinah. Kau simpan puisinya dik. Kau amatilah setiap baitnya. mungkin nanti kau bisa mengerti. Apakah cinta itu bisa memberi apa yang kau ingini. Ah, banyak sekali aku menyebut kalimah cinta, terasa pahit di tekakku dik. Bila kau pulang nanti, jangan lupa bawa manis-manisan dari tanah sana ya!

Sekarang tinggal mahu difikirkan, patutkah kau memilih si lelaki yang punya nilai agama, prinsip hidup yang sama, buah-buah fikiran yang kau bisa terima. Nah, aku ingin menyoal, apa jika kau memilih yang punya cinta, kau mampu membawa dia mencari Pencipta? Dan, jika kau memilih yang sama nilai hidupnya denganmu, apa dia bisa membahagiakan nafsu keperempuananmu? Nafsu yang meruntun tamakkan sayang dan belai mesra, nafsu yang tidak mahu melihat suaminya jauh dari mata. Kerna dik, kau harus tahu. Lelaki yang sama mencintai agamanya seperti mana kau mencintai jalan kebenaran ini, tentulah akan menjadikan kau sebagai cinta yang bukan utama. Dia memikul beban menyebar kalimah Tuhannya. Dia memikul beban menjadi hamba sebelum menjadi suami dan ayah kepada anak-anakmu. Itupun selepas tertunai semua tanggungjawab dia sama ibu ayahnya. Apa kau siap untuk semua itu?

Alhamdulillah, jika kau siap. Aku tahu kau mampu. Hidupmu bisa bahagia tanpa cinta dik, tapi apa kau mampu hidup sama lelaki yang masih bolos tanggungjawabnya sama agama? Aku sendiri, jika berpegang bahwa sesuatu perbuatan itu jelek sekali, tak akan sanggup menerima si lelaki yang berbuat perbuatan yang aku benci hanya kerana dia punya cinta. Biar sekecil perbuatan membuang tisunya dari dalam kereta ke luar tingkap! Aku takkan kenyang dan bahagia cuma dengan cinta dik. Itu jujurnya. Sekarang aku mohon kau pertimbangkan, dengan seteguh-teguh pertimbangan. Hidup yang bakal kau lalui, andai bergelar isteri bukanlah dihiasi bunga-bunga dan indah pelangi semata. Kebahagian dan ketenangan itu kan sebuah perjalanan hati, bukanlah satu destinasi.

Adindaku Suri,
aku kira aku perlu menamatkan surat ini. tapi biar aku bicara tentang suatu hal lagi yang menjadi kerisauan hatimu. Melangkah ke alam rumahtangga itu sendiri menjadi ketakutanmu. Menikah itu menjerut rasa bimbangmu. Apa bisa kau tempuh, satu alam begitu aneh. Begitu asing buat kita yang selama ini hidup cuma punya ayah ibu, adik dan teman. Apa kau masih bisa mengejar cita-cita dan impian andai sudah punya ikatan? Biar kutanya dik, apa cita-citamu. Tinggi mana anganmu? Aku yakin mimpimu tidak sekadar di bintang dan langit biru. Aku tahu betapa syurga itu menjadi tempat pulang yang paling kau rindu. Bila sudah jelas tentang itu, masih bisakah wujud takut dan risaumu sayang? Yakinlah dengan penyerahan istikharahmu, yakinlah dengan nasihat ibu ayahmu, datangi mereka dengan budi yang tinggi seperti Suri yang aku kenali.

Perkahwinan
-kata seorang perempuan

Perkahwinan
adalah kesukaran
mengurangkan beberapa kebiasaan
yang kadang-kadang mengurangkan kewujudan
dan seorang perempuan
selalu mengurangkan kewujudan
untuk melengkapkan kejadian.

Perkahwinan bagi perempuan
ialah perlindungan
untuknya yang tidak lagi berani
hidup sendiri dan menegakkan peribadi
kerana harga yang terlalu tinggi

Bonda Zurinah Hassan.

Harus kupinjam lagi puisinya sayang, kerna tentu dia lebih matang dan tahu tentang lorong-lorong yang belum kita tempuh itu Suri.

Suri yang kakak hormati,
Harus kau tahu. Perkahwinan itu bukan penyelesaian segala permasalahan. Bukan! Aku merasa aneh sekali dengan cakap-cakap orang, setiap kali kita didatangai ujian dan cubaan...lancar sahaja mereka mengungkap: "Menikah saja kamu, semua selesai". Jika yang berbicara atas dasar iman dan percaya, bahwa Tuhan yang memudahkan segala urusan, maka aku berlapang dada. Tapi andai mereka berkata sebegitu, hanya kerana merasa nikah itu jalan paling mudah untuk keluar dari lingkaran keduniaan,tanpa mengetahui benarnya janji Tuhan, maka aku merasa mereka itu telah berbohong dengan bohong yang nyata. Jangan kau lupa surah An-Nur ayat 32. Dan memangnya dijadikan manusia berpasang-pasangan, agak merasa selamat dan aman jiwanya. Sempurna sebahagaian agamanya.

Andai akhirnya kau memutuskan, untuk menangguhkan sebuah ikatan. Aku tidak punya kata mahu dibicarakan. Cukuplah nasihatku, agar saat kau menanti itu menjadi jalan rapatnya hubunganmu dengan cintaNya. Biar kehidupanmu belum menikah itu menjadi ruang untuk kau mengukuhkan tiang-tiang keimananmu. Teruslah mencari kekuatan dari bangunmu di tengah malam, meluah takut dan pengharapan.

Saat nanti kau siap, aku yakin yang Allah hantarkan juga sama layaknya. Dia tidak mungkin sempurna, cukuplah iman dan amalnya menjadi mahar paling mahal untuk kau terima. Apabila kau memutus untuk menikah, semata kerana Allah, berbahagialah kau dengan janji-janji kejayaan, dengan berita-berita kegembiraan.

Dan kau nanti menjadi Suri, yang dicemburui bidadari!

Alangkah!


Sayangku Suri,
maafkan bicaraku yang panjang. Andai kau ada di sini, aku tahu...cukup sekadar kita duduk bersama menggenggam tangan dan merenung awan. Kau bisa faham apa yang kubukukan di qalbu. Suri, warkah ini bukan leteran semata, inilah kerisauanku yang mahu kau bahagia. Berbicara denganmu, sungguh bagai berbicara dengan diriku sendiri. Biar lunas hakmu mendapat sedikit perbicaraan dariku. Kita jarang sekali meluah rasa tentang hal-hal sebegini, biar warkah ini berbicara. Saat kita bertemu nanti dengan izinNya, jangan kau sebut tentang surat yang penuh cela ini ya! aku malu. Maafkan juga kekurangan dan dangkalnya ilmuku dalam membantumu sayang.

Semoga selalu aman kau di sana dik.



Salam penuh rindu,

kandamu Laila.




________________________________________________________________________________

haha.
serius sayang,
ini untuk kamu.


.

10 comments:

Unknown said...

Dan bila yang bernama lelaki
turut merasa resahnya.

surat yang wajib dibaca oleh semua Suri di luar sana.

shahirahkhairudin said...

panjang berkajang, tetapi indah. isinya merekah.

N.I said...

Terima kasih banyak kanda, untuk warkahnya.

Lewat malam tadi, saya kebetulan khatamkan beberapa puisi bonda Zurinah dalam kompilasi Cakerawala.:)

AinNur Haris said...

alangkah manisnya... :)

kalau lah saya ada kakak..saya harap kakak saya akan berikan nasihat yang sama..

kerana suatu waktu dulu sebelum melangkah ke alam rumahtangga, saya sebenarnya betul2 teringin seorang kakak yang boleh di ajak berbicara...

semoga Suri bisa membuat keputusan yg terbaik....aminnn... :)

Anonymous said...

suri dalam dapur,
makan roti gula
heyy!

abuyusof said...

puh panjang nye .. tak larat nak baca..

Anonymous said...

jatuh sampai dalam. paling dalam.

- awan

Anonymous said...

bila dikata orang tua "nikahlah cepat",
mereka sudah tahu apa yang tersirat,
tapi orang tua tidak mahu memaksa,
kerana hati yang dipaksa takut terjerat.

Jangan risau gundah gulana
kerana ia takkan habis di sana
fikirkan dirimu boleh berbakti
kalau bukan untuk si dia, untuk Ilahi

Bila ringan badan berjalan
ke arah lorong penuh harapan
Jangan dibeban akal dan fikiran
Terus sahaja hadapi cabaran

Aishah Nur Hakim said...

:)



saya hanya mahu suri tersenyum.

ida masri said...

ya Tuhan,..
indahnya ya Aishah:)))!

p/s: di mana saya boleh baca the rest of koleksi puisi si bonda zurinah ya??:) dia awesome !^^


perempuan

hatinya tertinggal pesawat

bismillah

It’s a habit of yours to walk slowly.
You hold a grudge for years.
With such heaviness, how can you be modest?
With such attachments, do you expect to arrive anywhere?

Be wide as the air to learn a secret.
Right now you’re equal portions clay
and water, thick mud.

Abraham learned how the sun and moon and the stars all set.
He said, No longer will I try to assign partners for God.

You are so weak. Give up to Grace.
The ocean takes care of each wave
till it gets to the shore.
You need more help than you know.
You’re trying to live your life in open scaffolding.
Say Bismillah, In the Name of God,
as the priest does with a knife when he offers an animal.

Bismillah your old self
to find your real name.


Maulana Jalaludin Rumi


FOR HEAVEN'S SAKE, MY HEART!

By Gibran

For heaven's sake, my heart, keep secret your love,
and hide the secret from those you see
and you will have better fortune.

He who reveals secrets is considered fool;
silence and secrecy are much better for him
who falls in love.

For heaven's sake, my heart, if someone asks,
"What has happened?" do not answer.
If you are asked, 'Who is she?"
Say she is in love with another.
And pretend that it is of no consequence.

For heaven's sake, my love, conceal your passion;
your sickness is also your medicine because love
to the soul is as wine in a glass- what you
see is liquid, what is hidden is its spirit.

For heaven's sake, my heart, conceal your troubles;
then, should the seas roar and the skies fall,
you will be safe.



.

bukan semua soalan ada jawapan kan?

awak tak follow bukan sebab awak tak sayang, kan?

FEEDJIT Live Traffic Feed